Panduan Lengkap Solat Sunat Dhuha & Doa: Ringkas & Mudah

Solat Dhuha mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya seperti seseorang itu dikurniakan hati yang tenang, dosanya diampunkan dan diberikan rezeki yang melimpah-ruah oleh Allah. Dan sebaiknya sholat dhuha ini dilakukan secara istiqomah setiap hari.

Sholat dhuha dapat membuka pintu-pintu rezeki yang anda tidak sangkakan dan dimudahkan urusan sepanjang seharian hidup kita sebagai hamba Allah SWT kerana jika diamati doa sembahyang dhuha ini, ada disentuh bahagian rezeki (Jika rezeki masih di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika sukar, per-Mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika jauh, dekatkanlah).

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)

Nabi kita sendiri, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat dhuha ini melainkan keuzuran dan kita sebagai umatnya amatlah dituntut melakukannya.

Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”

Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Terdapat banyak hadis dan dalil yang menyebut tentang ganjaran dan kelebihan untuk solat Dhuha ini.

1. Pintu rezeki dibuka seluas-luasnya

“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” – (Sahih al-Targhib: 666)

2. Mendapat pahala seperti melakukan umrah

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” – (Sahih Al-Targhib: 673)

3. Diampuankan dosa-dosa yang lampau

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

4. Tergolong dalam kalangan orang yang bertaubat

Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali ia telah tergolong sebagai orang yang bertaubat.” – (HR Hakim)

5. Disediakan sebuah rumah di Syurga

“Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” – (Sahih al-Jami’: 634)

6. Nilainya seperti anda bersedekah

Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha.” -(Hadis Riwayat Muslim)

Marilah kita luangkan sedikit masa untuk mendengar ceramah berkenaan Kelebihan Solat Dhuha oleh Ustaz Azhar Idrus ini. Semoga ianya memberikan manfaat bersama.

Waktu Solat Sunat Dhuha

Secara amnya, waktu solat dhuha bermula dari terbitnya fajar matahari setinggi segalah sehingga matahari condong ke barat. Diamana ianya bermaksud waktu akhir untuk solat dhuha ialah kira-kira 9 minit sebelum masuknya waktu solat Zohor dimana ketika matahari tegak di atas kepala.

Sekira cuaca menjadi penghalang, anda boleh dengan merujuk kepada takwim kerana masuknya waktu dhuha iaitu 28 minit selepas Syuruk. Sekiranya waktu Syuruk 6.45 pagi dan tambahlah ia 28 minit, maka masuknya waktu untuk Dhuha bermula jam 7.13 pagi.

Namun begitu masa sesuai dan waktu afdal Solat Sunat Dhuha adalah anggaran ketika matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang lingkungan anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Cara Solat Dhuha

Cara sembahyang dhuha adalah lebih kurang sama dengan cara Solat Hajat dimana sekurang-kurangnya 2 rakaat, 4 rakaat, 8 rakaat dan 12 rakaat. Bergantung kepada kemampuan kita sendiri untuk menunaikan solat dhuha ini sebanyak mana.

Namun, hanya dengan membuat dua rakaat solat Dhuha sudah bersamaan kita melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Diriwayatkan pula dalam sebuah hadis Saidatina Aisyah R.A., beliau berkata (rujukan Shahih Muslim, 1176) :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى أَرْبَعًا ، وَيَزِيدُ مَا شَاءَ اللَّهُ

“Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam shalat Dhuha sebanyak empat (rakaat), kadang beliau menambah mengikut keinginannya.”

1. Mulakan solat dengan niat solat dhuha

Sembahyang Dhuha ini hukumnya sunat dan sangat digalakkan menunaikannya. Walaubagaimanapun, ia tidak sunat dilakukan secara berjemaah.

Niat solat-dhuha dalam rumi : “Ushollii sunnaatadluhaa rak’ataini mustaqbil alqiblati adaa-a llillaahi ta’aala.”

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

 

2. Bacaan surah dalam solat dhuha

Anda bebas membaca apa-apa sahaja surah semasa mengerjakan solat ini kerana tiada surah khusus yang digariskan Rasulullah SAW. Namun terdapat, terdapat beberapa surah dianjurkan ulama untuk dibacakan semasa sedang sembahyang dhuha:

  • Membaca Ayat al-Kursi 10 kali (rakaat pertama) dan Al-Ikhlas 10 kali (rakaat kedua)
Ayat al-Kursi
 Surah Al-Ikhlas
Surah Al-Ikhlas

 

Doa Dhuha – Doa Pembuka Pintu Rezeki

Seusai solat dan tasbih tadi, bacalah doa solat dhuha agar diberikan rezeki melimpah-ruah dan dipermudahkan segala urusan seharian kita. Baca dan amatilah makna setiap bait doa dhuha dibawah ini:

اللّهُمَّ إِنَّ الضّحَاءَ ضَحَاؤُكَ ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ

اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ ، وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ ، وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ ، بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ ، آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

Bacaan doa-dhuha dalam rumi : Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka, walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka. Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu, wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu, bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin

Terjemahan doa solat dhuha:

Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu Dhuha-Mu
Kecantikannya Kecantikan-Mu
Keindahannya Keindahan-Mu
Kekuatannya Kekuatan-Mu
Kekuasaannya Kekuasaan-Mu
Perlindungannya Perlindungan-Mu

Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, per-Mudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah

Berkat waktu Dhuha
Kecantikan-Mu, keindahan-Mu
Kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu

Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh

Solat Sunat Dhuha Membuka Pintu Rezki

Allahu. Jom baca kisah solat dhuha yang membuka pintu rezeki tanpa disangka-sangka oleh sahabat kita ini. Sedikit sebanyak boleh dijadikan untuk kita.

Rezeki & Dhuha – “Selepas rezeki rezeki ini datang, aku teringat yang aku dan suami selalu buat solat dhuha. Sekurang-kurangnya seminggu sekali mesti buat. Sejak kami buat solat dhuha, Allah permudahkan macam-macam bagi kami. Rezeki kami datang dengan senang tanpa kami duga.”

Ajaibnya Solat Dhuha “Semenjak menjadikan solat Dhuha sebagai rutin harian, keajaiban demi keajaiban mula berlaku dalam hidup Ahmad. Pada hari pertama dia mengerjakan solat Dhuha, majikannya telah mengadakan majlis kesyukuran sempena kelahiran cucu sulungnya.”

————————

Diharapkan, anda dapat menjadikan sunat dhuha ini satu kemestian dalam solat sunat Dhuha pada setiap hari kerana, sembahyang dhuha ini merupakan cara kita bersyukur kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan kepada kita.

Akhir kata, marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan ber-istiqamah dalam melakukan solat sunat Dhuha ini dalam kehidupan seharian kita walaupun hanya 2 rakaat sahaja kerana itu lebih dikasihi dan disayangi oleh Allah SWT. Bukan solat Dhuha sahaja, jika berkesempatan lakukanlah Solat Taubat di malam hari pula sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل

Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” [Riwayat Muslim (783)]

LIKE FB Panduan Solat

1 thought on “Panduan Lengkap Solat Sunat Dhuha & Doa: Ringkas & Mudah”

  1. Pingback: • Doa Solat Dhuha • Dalam Bahasa Arab & Rumi Berserta Terjemahannya

Leave a Comment

Your email address will not be published.